Monday, October 26, 2009

Dalam keadaan manusia asyik berlumba-lumba untuk menjaga paras yang cantik dan jelita terutama sekali kaum wanita, mereka sentiasa menghabiskan masa yang panjang menghadap cermin tanpa mengira waktu, sama ada pagi ataupun petang, sambil berkata-kata di dalam hati, apa lagi yang kurang padaku untuk menarik perhatian jejaka idaman! Bagaimana supaya aku sentiasa kelihatan manis dan berseri?"
Sambil tersenyum, jari-jari mereka cuba memadankan beberapa pasang perhiasan telinga yang dikenali dengan berbagai-bagai nama dan sebutan. Di sini eloklah kita kaji satu persatu barang-barang kemas berkenaan dan memperkenalkannya secara dekat kepada mereka yang tidak mempunyai peluang untuk menatap bahan-bahan tinggalan orang yang terdahulu daripada kita.
Apabila mendengar perkataan subang kita terus membayangkan bahawa ia adalah sejenis perhiasan diri yang diletakkan di kedua-dua cuping telinga sebagai hiasan.
Sebelum seseorang dapat memakai subang, gelinya atau kerabu, terlebih dahulu mereka dikehendaki menindik lubang di cuping telinga kerana bahan-bahan ini dipakai dengan cara dicucukkan ke cuping telinga dan penahannya dikenakan di sebalik cuping. Penahan ini adakalanya mempunyai skru, berpalang-sengkang atau hanya dicangkuk untuk mengelakkannya daripada terjatuh semasa dipakai.
Proses bertindik dilakukan oleh orang yang arif serta mahir tentang cara menyucuk jarum di cuping telinga sahaja. Pada zaman lampau, pekerjaan ini menggunakan sebatang jarum yang telah dibakar dan dicucukkan ke telinga. Benang kira-kira seinci panjangnya akan dimasukkan ke bekas cucukan atau tindikan melalui lubang yang dibuat, dan kedua-dua hujungnya disimpulkan supaya tidak tercabut keluar. Sedikit minyak kelapa muda bencampur kunyit dilangirkan kepada benang tadi supaya tidak melekat pada daging telinga dan supaya lubang tindikan cepat kering dan tidak tertutup. Selepas kering benang yang diselitkan ke lubang tindikan tadi digunting dan ditanam ke dalam tanah. Sebaik sahaja benang ditanik keluar, sepasang gelinya bulat dicucukkan ke lubang tersebut sehingga seseonang itu mampu untuk membeli gelinya yang lebih mahal dan yang lebih cantik.
Bertindik seperti ini biasanya dilakukan kepada kanak-kanak perempuan yang baru berumur enam tahun. Walau bagaimanapun ada juga yang bertindik ketika usianya lebih muda atau lebih lanjut daripada ini. Pada masa ini proses bertindik dapat dilaksanakan di kedai-kedai emas dengan sekelip mata sahaja. Mereka menggunakan alat seperti pistol kecil dan ditembakkan terus pada cuping telinga beserta dengan subangnya sekali tanpa pantang larang atau tanpa risau ia akan melekat, berkudis atau sebagainya lagi.
Rekabentuk dan nekacorak bahan hiasan telinga tidak mempunyai batasan. Ia dibuat dengan menggunakan berbagai-bagai logam dan batu permata yang berkilauan. Kini bahan-bahan seperti ini terus menjadi idaman setiap wanita. Tukang emas di pantai timur khususnya, telah cuba mereka corak subang atau anting-anting mengikut bentuk lama kerana ramai gadis sekarang yang sering mencari-cari bahan daripada bentuk lama yang dianggap mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Jika dahulu seseorang mempunyai sepasang dua gelinya sahaja tetapi wanita moden kini telah sedia membeli berpuluh-puluh pasang subang mengikut fesyen yang digayakannya setiap hari.
Anting-anting lama yang dipakai oleh wanita biasanya direka dengan menggunakan juraian emas dan dibuat bercabang-cabang. Bentuk seumpama ini akan menambahkan kecantikan pada bahan itu apabila disinari cahaya.Begitu juga dengan subang yang ada direka bentuk bergantung dikenali sebagai subang lanjut.




Sumber dipetik dari http://malaysiana.pnm.my/ dan http://images.search.yahoo.com/ , buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk "Barang Kemas Melayu Tradisi" oleh Mohd Kassim Haji Ali.